Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Syarikat dan individu yang masih belum mendapat bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam masa dua minggu selepas tuntutan dibuat boleh menjadi saksi akan kegagalan kerajaan dahulu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia membabitkan sebanyak 121,429 syarikat dan individu.

Beliau membuat kenyataan itu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan kegagalan kerajaan Barisan Nasional membuat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion.

Baru-baru ini Najib menegas dan mempertahankan bahawa isu kelewatan pembayaran semula wang input GST disebabkan oleh kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang gagal menyemak dan membuat pembayaran.

Kenyataan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu dengan merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2 yang dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau yang bekas Menteri Kewangan berkata, Laporan Audit tersebut ada menunjukkan jumlah yang sangat besar bagi tuntutan bayaran balik yang mungkin tidak sah atau menunjukkan percubaan untuk menipu kastam iaitu RM3.90 bilion untuk mereka yang tiada pembekalan bercukai (no output tax) dan sejumlah RM3.52 bilion yang masih dalam siasatan.

Namun, Guan Eng mendakwa Najib cuba menggunakan Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan bayaran balik GST bagi tempoh sehingga 5 Jun 2018 untuk menyatakan bahawa audit semakan masih belum siap dan hanya RM1.4 bilion sahaja yang diluluskan dan di hutang untuk bayaran balik GST.

Katanya, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) telah mengeluarkan kenyataan dua hari lepas mengesahkan semakan audit ke atas permohonan tuntutan pulang balik sebanyak RM19.47 bilion telah selesai dilaksanakan dan RM19.47 bilion telah diluluskan untuk dibuat bayaran pada akhir bulan Julai 2018.

Bagaimanapun, tiada dana yang cukup dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST untuk membayar tunggakan tuntutan pulang balik ini kerana hanya ada RM148.6 juta atau kekurangan RM19.2 bilion.

“Perlu ditegaskan bahawa saya hanya bongkarkan skandal RM19.4 bilion yang tidak dibayar balik dalam 2 minggu di dalam Majlis Dewan Rakyat pada 9 Ogos 2018, dan bukan pada 5 Jun 2018

“Di bawah Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014), semua bayaran GST yang dikutip mesti dibayar terus kepada Tabung Amanah GST untuk membolehkan bayaran balik GST dibuat,” katanya.

Beliau menambah, malangnya ini tidak dilakukan oleh kerajaan dahulu tetapi dibayar terus kepada Akaun Hasil
Disatukan, yang menyalahi undang-undang GST.

Akaun Hasil Disatukan hanya mempunyai RM450 juta pada 30 April 2018 dan jumlah ini tidak mencukupi untuk dipindahkan kepada Tabung Amanah GST untuk membiayai bayaran balik GST yang tertunggak.

Untuk rekod, pada 9 Ogos lalu, Guan Eng ketika dalam Parlimen mendedahkan terdapat sejumlah RM19.4 bilion dalam tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak pelaksanaannya pada April 2015 sehingga 31 Mei lalu.

Katanya, baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik hanyalah sekitar RM1.49 bilion sahaja menandakan ada kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa bergantung kepada sumbangan dividen khas Petronas untuk membuat bayaran balik GST yang tertunggak sebanyak RM19.4 bilion pada tahun 2019. – MalaysiaGazette