Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
MELAKA – Umat Melayu Islam sedang terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, budaya politik negara ini menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah dan menganjurkan pemikiran mengutamakan kesetiaan kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran; malah mencanai minda mementingkan kumpulan daripada kelangsungan ummah lebih menyeluruh.

Sultan Nazrin bertitah, umat Melayu hari ini kelihatan beransur lemah kerana telah kehilangan semangat ukhuwah, lemah jati diri, semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Islam telah membina umat Melayu berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas; Islam telah menyatukan umat Melayu dengan membina ukhuwah hingga umat Melayu bersatu teguh sehingga muncul sebagai umat yang kuat; tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah,” titah Sultan Nazrin di Bandar Hilir di Melaka hari ini.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyempurnakan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Anggota Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; dan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Pada majlis itu Sultan Nazrin berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka kepada 15 individu diketuai Adly selaku Pengerusi MAIM; dan seramai 21 individu menerima watikah pelantikan Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

Sultan Nazrin bertitah ilmuan Islam Ibnu Khaldun meninggalkan catatan mengenai peristiwa perpecahan politik dan perebutan kuasa yang amat dahsyat berlaku di Afrika Utara dan Andalusia, hingga mengakibatkan kejatuhan tamadun dan pemerintahan Islam.

Titah baginda Ibnu Khaldun menyaksikan kesediaan pemerintah melakukan apa sahaja untuk memastikan kuasa berada di tangan mereka, termasuk memperalatkan para ulama.

“Ulama yang pada era kegemilangan Islam bersifat jujur, bersifat ikhlas. Sebahagiannya kerana tergoda dengan kemegahan harta, jawatan dan gelaran bertukar dan membenarkan diri menjadi pemanfaatan bagi kepentingan peribadi umara tertentu,” titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, ulama berperanan sangat penting membantu pemerintahan berlaku adil dan saksama bersandarkan hukum yang dikenali dengan istilah adat semasa era pemerintahan Kesultanan Melayu.

Sultan Nazrin bertitah Yang di-Pertuan Agong Kesembilan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika berangkat mengadakan lawatan rasmi ke Melaka pada 12 hingga 14 Julai 1990 bertitah di sebalik sejarah kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka terdapat titik hitam yang harus direnungkan bersama agar ia tidak berulang.

Baginda bertitah Almarhum Sultan Azlan, juga Ayahanda Sultan Nazrin, menzahirkan titah: di samping berbangga dengan kejayaan Melaka, semua pihak harus menjaga perpaduan kerana perpecahan, perselisihan faham dan perebutan kuasa adalah antara faktor menjatuhkan keagungan Kesultanan Melaka sehingga Melaka dijajah kuasa barat.

“Ia agar umat Islam di bumi ini, tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang, kalah menjadi abu kerana kecenderungan untuk terus bersengketa,” titah Sultan Nazrin. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan