Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 15,000 tong sehari.

Ia merupakan semakan semula daripada 20,000 tong sehari seperti yang dipersetujui sehingga akhir tahun ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali berkata, keputusan itu dicapai sebagai tanda solidariti dengan negara-negara pengeluar minyak dalam mencapai kestabilan pasaran minyak.

“Walaupun Malaysia negara pengeluar minyak yang kecil, kita bersepakat untuk meneruskan objektif strategik bagi mencapai kestabilan pasaran global demi kepentingan semua pengeluar dan pengguma minyak dengan mengambil kira prospek serta keadaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan selepas berakhirnya Mesyuarat Kelima Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Mesyuarat Peringkat Menteri Bukan OPEC di Vienna, Austria pada 6 Disember lalu.

Pada mesyuarat itu, OPEC bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak kepada 1.2 juta tong sehari dalam tempoh enam bulan berbanding 1.8 juta tong sebelum ini. – MalaysiaGazette