Antara peserta yang menyertai perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula berhimpun di hadapan pusat membeli belah Sogo, Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah mula membanjiri sekitar ibu negara bagi menyertai Himpunan Ummah bagi menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Himpunan itu dianjurkan oleh UMNO dan Pas.

Perhimpunan tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 2 petang hingga 6 petang ini, bakal disertai setengah juta orang.

MGF08122018_HIMPUNAN BANTAH ICERD05
Para peserta Perhimpunan Ummah berkumpul di hadapan pusat membeli belah Sogo, Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pasukan keselamatan juga telah tiba di sekitar ibu negara bagi membuat kawalan sebelum bermulanya perhimpunan itu petang ini.

Himpunan Ummah ini dianjurkan bagi memberi isyarat bantahan terhadap segelintir pemimpin dalam kerajaan yang cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak keistimewaan kepada orang Melayu, Bumiputera dan agama Islam.

MGF08122018_HIMPUNAN BANTAH ICERD07
Golongan wanita juga mengambil bahagian dalam Perhimpunan Ummah menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) duduk berkumpul di hadapan Sogo, Jalan Tengku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 DISEMBER 2018

Pada 24 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019.

Malaysia merupakan salah satu daripada dua negara Islam yang tidak meratifikasi ICERD.

MGF08122018_Himpunan Tolak ICERD_11
Sebahagian gerai peniaga pada perhimpunan ‘Kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2018

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuat kuasa sejak tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Ia diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 bertujuan menangani masalah perkauman, namun di Malaysia ia dilihat sebagai satu ancaman terhadap kedudukan istimewa orang Melayu (Artikel 153) dan Islam.

Malaysia sebelum ini tidak pernah menandatangani perjanjian untuk meratifikasi ICERD.

Meratifikasi ICERD akan menyebabkan Artikel 153 yang memberi kedudukan istimewa kepada orang Melayu dan Bumiputera.

Fasal 5 (d) (vii) ICERD juga antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi dan menjamin hak semua orang untuk bebas berfikir dan beragama.

 

MGF08122018_Himpunan Tolak ICERD_10
Kelihatan seorang peserta memakai topeng muka pada perhimpunan ‘Kesyukuran’ meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Masjid Negara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2018

Pada 23 Nov 2018, kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meratifikasi ICERD selepas isu itu menjadi polemik dalam kalangan parti pembangkang dan rakyat.

Perhimpunan secara aman ini diadakan di tiga check point iaitu Masjid Jamek, Masjid Negara dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) berhampiran pusat beli-belah Sogo sebelum berarak ke Jalan Raja berhampiran Dataran Merdeka.

Ekoran itu, enam laluan utama di ibu kota akan ditutup. Jalan-jalan itu ialah Jalan Hishamuddin, Jalan Leboh Pasar, Jalan Tun Perak, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Bulatan Dato’ Onn.

Selain himpunan itu, Persatuan Pesilat juga akan menyerahkan memorandum bantahan ICERD ke Istana Negara. – MalaysiaGazette