Kakitangan beberapa syarikat milik kerajaan dipercayai masih lagi menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kewangan untuk kelulusan bagi pembayaran bonus.

KUALA LUMPUR – Bermula Januari sehingga akhir November 2018, jumlah pinjaman kasar yang dibuat menerusi terbitan bon dan sukuk kerajaan adalah berjumlah RM104.5 bilion.

Pecahan pinjaman itu ialah dari Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah RM49.0 bilion dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) adalah sebanyak RM55.5 bilion.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM60.8 bilion adalah untuk membiayai semula pinjaman menerusi terbitan bon dan
sukuk Kerajaan yang telah matang, manakala bakinya digunakan untuk membiayai defisit fiskal Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, keperluan pembiayaan Kerajaan Persekutuan diperoleh sebahagian
besarnya daripada sumber dalam negeri menerusi penerbitan bon dan sukuk kerajaan memandangkan kecairan tunai yang tinggi dalam pasaran kewangan domestik.

Sejajar dengan peraturan kewangan yang telah ditetapkan seperti yang termaktub di dalam Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 [Akta 637] dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275], pinjaman hanya dibuat untuk membiayai perbelanjaan pembangunan dan membiayai semula hutang yang matang.

Beliau menjawab soalan Datuk Reezal Merican (BN-Kepala Batas) yang bertanyakan berapa sasaran amaun yang wajar dan bilakah penerbitan bon.

Menurutnya, dalam membuat pinjaman dari sumber luar pesisir pula, kerajaan adalah tertakluk kepada Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 [Akta 403] yang mengehadkan pinjaman terkumpul luar pesisir pada RM35 bilion.

Kerajaan juga akan memastikan pendedahan yang minima kepada risiko tukaran mata wang asing di mana sehingga akhir September 2018, hanya RM21.4 bilion daripada jumlah hutang Kerajaan Persekutuan dalam beberapa denominasi mata wang asing.

Jumlah pinjaman bagi setiap tahun kewangan disasarkan melalui analisa dan kiraan yang dilaksanakan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) setelah mengambil kira jumlah bayaran balik pinjaman serta anggaran defisit pada tahun tersebut. – MalaysiaGazette