Mohd Khairuddin Othman
Mohd Khairuddin Othman

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Selangor yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Allahyarham Prof. Dr Sharuddin Badaruddin.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor mengangkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Mohd Khairuddin turut dikurniakan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor daripada baginda.

Mohd Khairuddin mula menyandang kerusi Paya Jaras selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan sekali lagi mempertahankan kerusinya itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mohd Khairuddin juga pernah bertugas sebagai pembantu Exco Infrastruktur, Belia dan Adat Melayu, Ahli Lembaga Tabung Pendidikan Selangor serta Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Selangor.

Kerusi Exco Selangor kosong selepas Shaharuddin, 56, meninggal dunia akibat menderita penyakit kanser usus tahap empat. – MalaysiaGazette