Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menurnkan tandatangan sambil diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Acara Penutup Seminar Juara Anti Rasuah di Auditorium Integriti, Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kapal-kapal Malaysia dan Singapura akan kekal di kawasan Tuas selagi perbincangan mengenai tuntutan sempadan laut yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara tidak mencapai kata putus.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pertikaian tersebut akan diselesaikan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

“Kita akan runding dengan Singapura, kita tidak akan berlawan dengan Singapura. Kadang-kadang ada pertindihan tuntutan dan kita boleh selesaikan perkara ini melalui rundingan.

“Kementerian Luar akan membuat rundingan secepat mungkin,” katanya dalam sidang media di Institut Integriti Malaysia hari ini.

Semuanya bermula apabila terdapat perbalahan antara Malaysia dan Singapura mengenai Pengisytiharan Perubahan Had Pelabuhan bagi Johor Bahru yang diterbitkan pada 25 Oktober lalu.

Susulan itu, Malaysia telah memaklumkan kepada Kerajaan Singapura melalui Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia pada Sabtu lalu mengenai bantahannya terhadap keputusan Kerajaan Singapura berhubung penerbitan Pekeliling No.9 2018 bertarikh 6 Disember 2018 oleh Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura bertujuan untuk memperluaskan had pelabuhan Singapura di luar Tuas.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata kapal-kapal kedua-dua negara akan tetap berada di perairan itu kerana masih belum ada rundingan terhadap pertikaian itu.

“Buat masa ini (kapal kerajaan akan kekal di situ) sebab tiada keputusan yang dibuat.

“Kapal-kapal itu sudah ada di sana, begitu juga kapal kerajaan Singapura,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, isu tersebut akan diselesaikan berlandaskan peruntukan undang-undang dan hak negara.

Ia ekoran kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan bahawa negara itu menolak cadangan Malaysia supaya kedua-dua negara menghentikan sebarang penghantaran aset ke kawasan yang dipertikaikan di Selat Johor, yang disuarakan Saifuddin.

Rabu lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Malaysia menggesa Singapura menarik balik Pekeliling Pelabuhan Marin dikeluarkan republik itu pada 30 November lalu dan menghalang agensi penguatkuasaannya daripada menceroboh wilayah laut Malaysia. -MalaysiaGazette