Live screening perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Vietnam di Axiata Arena.

KUALA LUMPUR- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan mengadakan “live screening” di Axiata Arena bagi membolehkan penyokong-penyokong Harimau Malaya memberikan sokongan kepada pasukan negara ketika menentang pasukan Vietnam, esok.

“Saya ingin mengajak rakyat Malaysia beramai-ramai ke Axiata Arena bagi memberikan sokongan kepada Harimau Malaya,” kata Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di dalam hantaran terbaharu di Twitter.

Axiata Arena terletak di sebelah Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam hantaran yang sama, Syed Saddiq turut menyatakan rasa simpati kepada peminat-peminat bola sepak negara yang gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan pusingan pertama final Piala AFF Suzuki yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Katanya, KBS akan membantu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat dan mencari penyelesaian jangka panjang bagi memastikan insiden sedemikian tidak lagi berulang.

Semalam, ramai peminat bola sepak tempatan menyatakan rasa tidak puas apabila gagal mendapatkan tiket walaupun selepas beratur selama berjam-jam.

Menurut FAM, sejumlah 40,000 tiket yang dijual secara fizikal di tiga lokasi sekitar Lembah Klang pada Ahad habis dalam tempoh yang singkat.

Sebanyak 40,000 tiket yang dijual dalam talian pada Jumaat dan Sabtu juga habis dibeli dalam masa singkat.-MalaysiaGazette