Datuk Darell Leiking.
Datuk Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkenalkan Penilaian Kesediaan bagi penghijrahan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke platform Industri 4.0 (IR4.0).

Penilaian ini dibuat kerana MITI difahamkan kebanyakan PKS berpendapat proses peralihan itu sukar.

Lantaran itu, Menterinya, Datuk Darell Leiking berkata, Penilaian Kesediaan itu akan membantu PKS menambah baik produktiviti dalam jangka panjang.

Menurutnya, MITI kini sedang mengenal pasti 500 PKS yang layak untuk menjadi kumpulan pertama bagi penghijrahan itu pada tahun depan, selari dengan dengan penjajaran ke arah megatrends.

Sejumlah RM7.12 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif untuk menyokong Industri 4.0 dan digital.

Malah, terdapat beberapa insentif yang diperuntukkan di bawah Bajet 2019 untuk diuruskan oleh MITI dan agensi-agensi di bawahnya iaitu sejumlah RM210 juta dari tahun 2019 hingga 2021 untuk membantu 500 PKS pertama  menjalankan Penilaian Kesediaan untuk berpindah ke platform Industri 4.0  melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Selain itu, pemilihan geran melalui Dana Impak Tinggi (HIF) di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MID)A dengan penekanan khusus terhadap inisiatif Industri 4.0.

“Dengan semua dana dan peluang-peluang ini, saya berharap PKS akan mengambil kesempatan dan mula fikirkan masa depan.

“Syarikat perlu berubah menjadi inovasi dan rakan niaga pintar bagi mempromosi pertumbuhan industri. Syarikat bukan sahaja perlu mengguna pakai automasi dan teknologi pintar, tetapi juga melabur dalam bakat mereka dengan melatih semula tenaga kerja dan melakukan kerjasama dengan banyak institusi latihan yang sudah ada di negara ini,” katanya ketika merasmikan Seminar Automasi dan IR 4.0. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan