KUALA  LUMPUR – Ringgit meneruskan aliran menurunnya berbanding dolar AS apabila ditutup rendah hari ini dalam keadaan tercetusnya semula kebimbangan akan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China yang boleh menjejaskan permintaan terhadap mata wang negara sedang pesat membangun.

Pada 6 petang, unit tempatan diniagakan pada 4.1700/1750 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1640/1680 pada Jumaat minggu lepas.

Seorang peniaga berkata, keadaan hubungan AS-China yang tidak menentu ditambah dengan kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global yang perlahan, mengekang sentimen risiko dan menjejaskan keyakinan pelabur.

“Laporan data pekerjaan AS bagi November dikeluarkan minggu lepas yang menunjukkan pertumbuhan perlahan, tidak menyediakan prospek yang cerah bagi ekonomi AS,” kata peniaga itu.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain kecuali pound Britain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0431/0470 daripada 3.0385/0434 pada Jumaat dan turun berbanding euro kepada 4.7588/7649 daripada 4.7320/7373 dan susut berbanding yen kepada 3.6991/6039 daripada 3.6899/6937.

Bagaimanapun, berbanding pound Britain, ringgit meningkat kepada 5.3059/3139 daripada 5.3116/3184 – MalaysiaGazette