Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan rasa kecewanya terhadap situasi penjualan tiket Piala AFF Suzuki semalam.

Menerusi Twitter, baginda yang juga Pengerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengharapkan pandangan dan idea daripada orang ramai dalam usaha menyelesaikan isu penjualan tiket agar lebih efisien.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku berkenaan penjualan tiket final Piala AFF Suzuki.

“Saya harap penyokong boleh beri idea mengenai solusi untuk isu penjualan tiket dan berharap pihak FAM juga akan mencari jalan penyelesaian. Perkara ini tidak boleh berterusan,” tulis Tunku Ismail di laman sosial berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kaunter tiket ditutup sepenuhnya semalam selepas ia habis dijual secara online dan fizikal.

Perkara tersebut telah mendapat kritikan daripada penyokong bola sepak tempatan terutama mereka yang telah lama beratur panjang di stadium untuk membeli tiket bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

Jumaat lalu, FAM memberitahu penjualan tiket secara talian telah dibuka dan sebanyak 40,000 keping habis dijual. Dalam pada itu, Tunku Ismail akan mencuba sebaik mungkin untuk mencari penyelesaian agar supaya isu penyokong tidak dapat membeli tiket tidak berulang pada masa hadapan kerana mereka adalah nadi dalam arena bola sepak negara. – MalaysiaGazette