Sebahagian daripada kakitangan Goodyear di Venezuela. foto Japantimes

CARACAS – Kakitangan Goodyear di Venezuela diberikan 10 tayar setiap seorang sebagai pembayaran pemberhentian kerja selepas firma Amerika Syarikat itu menghentikan operasi di negara ini.

Tayar berkualiti mempunyai nilai tinggi dalam pasaran hitam di Venezuela yang mengalami kekurangan pelbagai bekalan barangan secara kronik.

Beberapa firma asing mula menghentikan operasi di Venezuela selepas peningkatan krisis ekonomi dan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
.
Presiden Nicolas Maduro menuduh pembangkang dan Amerika Syarikat melancarkan perang ekonomi ke atas kerajaannya.

Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, Goodyear mengatakan syarikat itu telah membuat keputusan yang sukar untuk berhenti operasinya di Venezuela.

“Matlamat kami adalah untuk mengekalkan operasinya, tetapi keadaan ekonomi dan sekatan Amerika Syarikat telah menjadikan ia mustahil.”

Syarikat itu berkata, ia dalam proses membuat pembayaran pemberhentian kerja termasuk memberikan 10 tayar setiap pekerja.

Goodyear adalah syarikat multinasional yang terbaharu meninggalkan Venezuela, selepas Kellogg, Kimberley Clark dan beberapa syarikat penerbangan.

Venezuela telah mengalami krisis ekonomi sejak 2014. – MalaysiaGazette