Dr Ong Kian Ming
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima syarikat perkilangan yang mempunyai penyertaan pelabur asing telah menutup operasi sepenuhnya dalam tempoh Mei hingga September lepas, melibatkan pelaburan sebanyak RM308.7 juta, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Seramai 362 pekerja tempatan turut diberhentikan berikutan penutupan operasi syarikat tersebut.

Beliau berkata, penutupan syarikat itu lebih kepada keputusan perniagaan dan bukan kerana faktor peralihan kerajaan.

“Antara faktor yang menyebabkan pelabur asing menarik keluar pelaburan mereka dari Malaysia termasuklah penguncupan ekonomi global, ketidaktentuan pasaran berikutan penurunan dalam permintaan dan jualan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN- Tanah Merah) yang ingin tahu mengenai jumlah pelabur asing yang menarik keluar pelaburan mereka di negara ini dan nilai yang terlibat.

Ong berkata, sebab lain penutupan operasi syarikat itu ialah peningkatan kos operasi dan ketiadaan permintaan terhadap produk.

Katanya, faktor itu menyebabkan pelabur terpaksa menstruktur semula syarikat dan strategi perniagaan mereka termasuk mengambil keputusan untuk menarik keluar pelaburan mereka di luar negara termasuk di Malaysia.

Katanya, pendekatan Malaysia untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berkualiti dan berteknologi tinggi serta peralihan teknologi kepada digitalisasi dan Industri 4.0 serta peningkatan kos buruh di Malaysia telah menyebabkan pelabur, terutamanya dalam projek yang berintensifkan buruh tidak dapat menyesuaikan operasi syarikat dengan perubahan yang berlaku.

Beliau berkata, mereka mengalami kesukaran untuk terus beroperasi dan mengekalkan keuntungan jangka panjang di negara ini.

Ong berkata, pekerja tempatan yang diberhentikan telah ditawarkan pakej pampasan yang sewajarnya oleh syarikat tersebut yang turut bekerjasama dengan Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan syarikat lain untuk menyediakan penempatan semula bagi pekerja yang akan diberhentikan.

Katanya syarikat itu juga bekerjasama dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi membantu pekerja yang akan diberhentikan untuk menyertai program latihan kemahiran yang sesuai melalui HRDF Outplacement Centre.

“Di bawah skim ini, pekerja tempatan yang telah diberhentikan akan dilengkapkan dengan kemahiran industri tambahan atau kelayakan yang diperlukan bagi membolehkan mereka bekerja semula atau bekerja sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette