Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hadir ke SPRM dipercayai berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini bagi mengambil keterangan berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Arul Kanda dipanggil SPRM berhubung pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa sebahagian audit akhir laporan 1MDB telah dipinda.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

Antara lain, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Turut dilihat memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM adalah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa.

MGF11122018_ARUL KANDA SPRM02
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy (tengah) hadir ke SPRM berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

Beliau yang memakai sut hitam dilihat memasuki perkarangan SPRMĀ  beberapa minit sebelum Arul Kanda tiba.

Semalam, SRPM turut memanggil Najib bagi siasatan kes berkenaan.

Najib ditahan SPRM berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dan dilepaskan pada pukul 1.20 petang semalam.

Antara individu yang telah dirakamkan percakapan mereka adalah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Ketua Audit Negara dan Tan Sri Ambrin Buang. – MalaysiaGazette