Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy (tengah) hadir ke SPRM berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Arul 41, ditahan dan akan didakwa dibawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Seorang peguam, Datuk N. Sivananthan berkata, anak guamnya itu akan didakwa bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya sahkan bahawa Arul Kanda telah ditahan oleh SPRM dan mereka akan dakwa beliau di Mahkamah esok pagi dan akan didakwa bersama dengan Datuk Seri Najib Razak.

“Arul tidak akan dilepaskan dengan jaminan hari ini dan akan bermalam di lokap dan akan dibawa ke mahkamah esok pagi.

Beliau akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Jalan Duta bagi pendakwaan esok.

“Arul akan didakwa atas siasatan berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

“Dia ditahan jam 10.30 pagi tadi ketika memasuki perkarangan ibu pejabat SPRM jam 9.42 pagi tadi,” ulas Sivananthan lagi.

MGF11122018_ARUL KANDA SPRM07
Peguam kepada Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy, Datuk N. Sivananthan bercakap kepada media semasa hadir ke SPRM berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 11 DISEMBER 2018

Arul dipanggil hari ini ke ibu pejabat SPRM bagi mengambil keterangan berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Ia susulan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad bahawa sebahagian audit akhir laporan 1MDB telah dipinda.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

Antara lain, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga Ketua Setiausaha Sulit Najib sewaktu dia menjadi Perdana Menteri. -MalaysiaGazette