PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Datuk Seri Najib Razak akan menghadapi pertuduhan sama seperti bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka akan dituduh di mahkamah yang berbeza esok.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Razak serta bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di mahkamah esok.

“Kedua-dua mereka bakal menghadapi pertuduhan bersama berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB. Namun begitu, bacaan pertuduhan tersebut akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan di Kompleks Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua mereka akan dihadapkan ke mahkamah jam 8 pagi esok.

Arul akan dibawa ke mahkamah menerusi lokap SPRM setelah beliau ditahan oleh badan siasatan itu jam 10.30 pagi tadi.

Beliau ditahan bagi pendakwaan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

SPRM sebelum itu telah menahan Najib semalam bagi melengkapkan proses akhir siasatan.

Beliau kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM pada hari sama.

Kedua-dua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. -MalaysiaGazette