BEIJING – China dan Amerika Syarikat (AS) telah mengadakan perbincangan mengenai hala tuju rundingan perdagangan kedua-dua negara pada Selasa menerusi satu perbualan telefon di antara Naib Perdana Menteri, Liu He dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan Wakil Perdagangan, Robert Lighthizer.

Menurut Lighthizer, kesemua tarif baharu terpaksa dilaksanakan mengikut jadual melainkan AS dan China mampu dapat selesaikan rundingan perdagangan mereka sebelum 1 Mac depan.

Ini sekali gus menggambarkan betapa sukarnya kedua-dua negara untuk mengejar tarikh tamat tersebut.

Kementerian Perdagangan China dalam satu kenyataan ringkas berkata, Liu telah bercakap dengan Mnuchin dan Lighthizer pada pagi Selasa mengikut waktu Beijing dalam satu perbualan telefon yang telah diatur terlebih dahulu.

“Kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai kesan terhadap konsesus yang telah dicapai semasa mesyuarat ketua-ketua negara AS-China.

“Mereka juga mahu mempercepatkan jadual dan hala tuju kerja-kerja rundingan ekonomi dan perdagangan ke peringkat seterusnya,” kata kementerian tersebut.

Ia bagaimanapun tidak mengulas lanjut.

Jurucakap Perbendaharaan AS turut mengesahkan perbualan telefon tersebut bagaimanapun tidak memberi sebarang butiran lengkap.- MalaysiaGazette