Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak semua pihak berhenti menimbulkan pelbagai polemik berhubung kemelut kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, semua pihak perlu berhenti membuat tuduhan melulu dan kerajaan pula perlu segera menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (RCI) untuk memulakan siasatan.

“Perkasa mendesak semua pihak berhenti tuduh menuduh yang boleh mengugat LTH dan langkah segera terbaik ialah menubuhkan RCI bagi menyiasat kebenaran sebenar serta mendapat perakuan untuk penambahbaikan demi masa depan LTH.

“Cadangan penubuhan RCI ini telah dibuat oleh mantan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Tanpa mengambil kira siapa yang mencadang penubuhan RCI ini atau dari parti politik mana, asalkan jika cadangan itu baik adalah wajar semua pihak memberi sokongan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 30 November lalu, LTH membuat laporan polis berhubung dana Program Yayasan Tabung Haji 2017 lebih RM22 juta didakwa digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Keadaan diburukkan apabila laporan media milik Kerajaan Singapura pada 2 Disember lalu mendakwa LTH kekurangan dana sebanyak RM4 bilion dan dibimbangi akan dijadikan alasan untuk pengisytiharan dividen yang jauh lebih rendah pada tahun ini.
Ibrahim juga melahirkan rasa malunya terhadap kemelut itu yang membabitkan semua orang Melayu dan Islam di negara.

“Akibat persengketaan politik, akhirnya yang menang jadi abu dan yang kalah jadi arang.

“Nama baik LTH tercemar dan keyakinan penyimpan menjadi gusar. Melayu Islam turut malu tidak kira dari PH atau BN dan Pas.

“Saya juga amat malu. Masing-masing mahu menegakkan benang basah dan merekalah yang benar,” katanya.

Katanya lagi, tindakan bekas pengurusan tertinggi institusi jemaah haji negara itu yang mengeluarkan kenyataan tanpa maklumat terperinci hanya memburukkan keadaan.

“Sehingga ke saat ini sukar dibuat kesimpulan siapa yang benar dan siapa yang salah.

“Semua membuat kenyataan umum tanpa maklumat terperinci dari semua sudut.

“Mendapat kebenaran sahih mesti diutamakan berdasarkan tuntutan ajaran Islam dan Prinsip-prinsip Perakuanan serta perundangan berintegriti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette