Osman Sapian
Menteri Besar Johor, Osman Sapian. foto IQBAL BASRI, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian enggan mengulas lagi mengenai isu Pulau Kukup di Johor yang menjadi pertikaian antara kerajaan Persekutuan dengan Istana Johor sebelum ini.

Malah, beliau menyifatkan isu tersebut sudah selesai kerana telah menjawab mengenainya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, penggulungan mengenai perkara itu juga sudah dibuat dan tidak ada isu lagi untuk dibangkitkan.

“Tu dah habis cerita, dah keluar semua sekali kita dah jawab dalam dewan dan dah gulung pun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Muafakat Johor 2018, anjuran Persatuan Anak Negeri Johor (PAMJ) di sini hari ini.

Pulau Kukup, yang terletak di Pontian adalah salah satu tanah lembap yang ada di Asia Tenggara telah dijadikan Taman Negara sejak tahun 1997.

Ia juga merupakan pulau paya bakau tanpa habitat kedua terbesar di dunia dan menjadi salah satu daripada lima lokasi Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) di Malaysia.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhir-akhir ini lantang menyuarakan mengenai pulau tersebut apabila mahu status pulau itu ditukar daripada Taman Negara kepada tanah Kesultanan.

Menurut Tunku Ismail pulau itu akan mendapat perlindungan yang lebih baik selepas statusnya ditukar.

Sementara itu majlis meraikan anak Johor yang berada di Kuala Lumpur dan Selangor dihadiri kira-kira 500 orang yang merupakan perantau.

Turut meraikan majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub dan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam.

Pada majlis berkenaan, Osman turut menyumbangkan sebanyak RM100,000 kepada persatuan tersebut untuk digunakan bagi melaksanakan aktiviti dalam usaha merapatkan ukhuwah warga Johor yang berada di perantauan. – MalaysiaGazette