Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil langkah berhati-hati dalam meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) dari China untuk mengelakkan negara dilabel sebagai pusat pemindahan  bagi produk dari China untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming berkata, pelabelan sebagai pusat pemindahan dibimbangi akan menyebabkan negara dikenakan tarif oleh AS.

“Ada kemungkinan Malaysia akan dilabel sebagai pusat pemindahan dari China ke AS dan menggunakan bukti seperti ini untuk (AS) meletakkan tarif bukan sahaja terhadap syarikat seperti ini tetapi juga terhadap industri secara menyeluruh dan akan memberi impak cukup besar terhadap industri di Malaysia,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) berkaitan usaha kerajaan menarik pelabur dari China untuk memindahkan kilang ke Malaysia akibat perang perdagangan AS-China dan insentif baharu yang ditawarkan.

Ong berkata, kerajaan juga bimbang pelabur dari China membuat pelaburan yang mempunyai nilai tambah rendah dan bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan aktiviti perindustrian bernilai tambah tinggi.

Katanya, kerajaan juga tidak akan memperkenalkan insentif baharu untuk menarik pelaburan dari China kerana sudah terdapat banyak permohonan dari syarikat negara tembok besar itu yang ingin melabur di Malaysia.

“Kita mesti bertanggungjawab untuk tapis FDI dari China supaya hanya mereka yang benar-benar ingin menggunakan Malaysia sebagai hab pembuatan secara jangka panjang mendapat galakkan,” katanya. – MalaysiaGazette