Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited mewujudkan semula Majlis Profesor Negara (MPN) yang baru sebagai badan yang betul-betul bebas daripada pengaruh politik bagi membantu kerajaan membangunkan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan tidak mahu lagi badan itu hanya menjadi jurucakap yang berkempen untuk kerajaan.

“Kalau nak jadi begitu mereka disaran buka pakaian akademik dan jadi anggota politik, bersama kita lawan secara ‘gentleman’,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang mahu tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk melantik semula profesor yang “genuine” yang tidak taksub kepada mana-mana parti politik untuk dimanfaatkan kepakaran mereka menganggotai mana-mana badan sebagai pemikir negara.

Mohamed Hanipa berkata, cadangan mewujudkan semula MPN telah dipersetujui Kabinet pada 2 Nov lepas.

Katanya MPN yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini dibubarkan pada 23 Mei lepas telah dipersetujui Kabinet diwujudkan semula dengan nama, struktur dan keahlian baru yang akan dipilih berdasarkan merit, kelayakan serta bebas campur tangan politik dan diletak di bawah Kementerian Pendidikan.

Menjawab soalan asal Rusnah mengenai jumlah profesor yang telah ditamatkan perkhidmatan, Mohamed Hanipa berkata seramai 28 pegawai MPN ditamatkan perkhidmatan pada 15 Nov lepas.

— BERNAMA

Majlis Profesor Negara dapat peluang kedua?

Majlis Profesor Negara akan jadi NGO