Pemain Malaysia, Mohamadou Sumareh diasak keras pemain Vietnam semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya gagal membawa kelebihan gol apabila sekadar seri 2-2 dengan Vietnam pada perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam ini.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu kini membawa misi wajib menang atau seri dengan tiga jaringan untuk dinobatkan juara Asia Tenggara berdasarkan format kelebihan gol di tempat lawan.

Pada perlawanan yang disaksikan lebih 80,000 penonton termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Malaysia dikejutkan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit oleh pasukan pelawat.

Vietnam memperoleh gol pertama hasil jaringan Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 sebelum gol kedua hadir menerusi Pham Duc Huy pada minit ke-25.

MGF11122018_MAS V VIET AFF SUZUKI_06
Pemain Malaysia, Shahrul Mohd Saad meraikan gol pertama Malaysia semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Vietnam yang berkesudahan 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 DISEMBER 2018

Namun Harimau Malaya bangkit melawan apabila merapatkan kedudukan oleh tandukan Shahrul Saad pada minit ke-36 hasil sepakan percuma Syamer Kutty Abba.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia terus memburu jaringan dan gol penyamaan muncul menerusi sepakan percuma oleh Muhammad Safawi Rasid.

Malaysia yang kali terakhir menjulang Piala AFF Suzuki pada 2010 perlu mencari gol kemenangan sebagai kelebihan di tempat lawan namun keputusan 2-2 kekal hingga ke wisel penamat.

Sementara itu, perlawanan akhir kedua akan berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi, Vietnam pada Sabtu ini. – MalaysiaGazette