Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media mengenai perhimpunan agung PPBM kali kedua di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2018

PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada Menteri dan Menteri Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ‘okay’ dan ‘belum okay’

Menurut Presiden PPBM itu, ini kerana ada dalam kalangan mereka yang kurang pengalaman.

Namun, yang penting masing-masing memahami tugas dan mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri.

“Yang penting mereka mesti faham tugas mereka, kita juga tahu sebahagian besar daripada mereka baru dilantik mungkin belum ada pengalaman dan disebabkan itu ada perkara-perkara yang perlu ditambah baik,” katanya pada sidang media di sini.

Lantaran itu, Muhyiddin berkata, tidak ada keperluan untuk beliau memberi penarafan kepada Menteri dan Menteri Besar dalam kalangan parti itu.

“Jadi saya tidak perlu letakkan rating bagus, tidak bagus, rakyat boleh menilai.

“Menteri Besar (PPBM) ada yang okay, ada yang belum nampak okay. Saya pun Menteri juga, ada yang kata saya okay, ada yang kata saya tidak okay.

“Kalau saya tak kata pun, rakyat akan kata oh.. Menteri Besar ini tak bagus Menteri ini tak bagus,” tambahnya.

PPBM mempunyai tiga Menteri Besar iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Kedah), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Perak) dan Datuk Osman Sapian (Johor).

Selain itu, terdapat tiga lantikan Menteri daripada PPBM – Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan; Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muhyiddin dalam pada itu memaklumkan PPBM akan mengadakan  perhimpunan agung kali kedua bermula 28 hingga 30 Disember nanti.

Perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)  tersebut  itu dijangka akan dihadiri oleh 3,000 perwakilan PPBM, dan hanya satu usul sahaja akan dibawa.

“Pada perhimpunan itu satu usul dari perwakilan Johor akan dibawa iaitu menyokong ucapan dasar Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad dan akan disokong oleh perwakilan Terengganu kemudian dibahas perwakilan seluruh negeri,” ujar Muhyiddin.-MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan