Azeez
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji hari ini menafikan pengurusan lama organisasi itu telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 apabila membayar hibah secara haram bernilai RM12.652 bilion selama empat tahun sejak 2014 hingga menyebabkan ia mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion.

Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim berkata, kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mengambil kira laporan Ernst & Young dalam menilai aset keseluruhan anak-anak syarikat, syarikat sekutu, syarikat usaha sama dan hartanah.

Apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hanya laporan kewangan semata-mata.

Jelas Abdul Azeez, bagi tahun 2015, nilai aset direalisasikan adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion, iaitu ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.

Nilai aset direalisasikan pada tahun 2016 adalah sebnayak RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti setelah mengambil kira hibah 2016 adalah sebanyak RM68.4 bilion.

Maka, ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

Bagi tahun 2017, nilai aset direalisasikan sebanyak RM74.7 bilion berbanding aggregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion, bermakna ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta.

“Berdasarkan laporan kewangan Price WaterhouseCoopers yang dibuat pada Ogos 2017 yang diberikan kepada Ahli-Ahli Parlimen semalam, ada juga terbandung laporan Ernst & Young yang menunjukkan aset Tabung Haji melebihi liabiliti untuk tahun 2015, 2016 dan 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Abdul Azeez, mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995, aset Kumpulan Wang tidak kurang daripada jumlah liabilitinya, amaun yang kena dibayar kepada pendeposit dikira seolah-olah kena dibayar dengan serta-merta.

Tambahnya, sejak tahun 2015, Tabung Haji telah menilai semua aset pada nilai pasaran semasa dan bagi tiga tahun lepas, nilai aset Tabung Haji melebihi semua liabiliti.

Beliau berkata, nilai aset direalisasikan adalah nilai pasaran semasa dan bukan kos pelaburan asal.

“Maka Tabung Haji telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi undang-undang.

Tegas beliau, penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini kerana pelaburan anak syarikat, syarikat usahasama, syarikat bersekutu dan hartanah masih dinyatakan pada nilai kos asal.

“Penilaian yang dinyatakan oleh Mujahid semalam berbeza daripada yang dibuat oleh Tabung Haji iaitu beliau tidak mengambil kira nilai pasaran terkini,” ujar Abdul Azeez.

Katanya, apa yang dibuat oleh pengurusan Tabung Haji terdahulu tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh Ernst & Young, selain laporan dan kedudukan kewangan organisasi itu turut disemak oleh Jabatan Audit Negara yang kemudian diperakukan melalui sijik bersih setiap tahun kepada Tabung Haji.

“Perlu diingat baghawa badan berkanun mesti tertakluk kepada Ketua Audit Negara dalam urusan dan pengesahan audit. Ini jelas termaktub dalam Akta Badan Berkanun seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 5(1) dan 5(2) serta Seksyen 6.

“Sekali pun wujud perbezaan pandangan dan tafsiran mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset antara Ernst & Young dan Price WaterhouseCooper, akhirnya laporan muktamad adalah berdasarkan pengesahan Jabatan Audit Negara,” katanya. – MalaysiaGazette