Najib Razak

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Pakatan Harapan menjadikan Lembaga Tabung Haji sebagai bahan politik dilihat sebagai tindakan bahaya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu telah menghakis kepercayaan pencarum-pencarum terhadap Tabung Haji sehingga ada kemungkinan berlakunya “bank run” ataupun pengeluaran deposit secara beramai-ramai.

“Kalau ini berlaku, maka dana dan aliran tunai TH akan terus berkurangan sehingga kestabilan TH mungkin terjejas.

“Langkah kerajaan PH untuk menjadikan TH sebagai bahan politik bukan bijak. Malah, ini satu langkah yang bahaya,” kata bekas Perdana Menteri itu melalui hantaran terbaharunya di Facebook.

Tegas Najib, jika ada pengurusan Tabung Haji dahulu dan juruaudit-juruaudit organisasi tersebut benar-benar bersalah, siasat dan ambil tindakan tetapi jangan politikkan.

Menurut beliau, sepatutnya, kerajaan Pakatan Harapan patut menyakinkan pencarum-pencarum Tabung Haji serta menghentikan kenyataan dan pengumuman yang negatif mengenai organisasi berkenaan.

“Tabung Haji ialah Tabung Haji dan bukan Tabung Harapan untuk kamu dijadikan bahan politik,” tambah beliau apatah lagi pada ketika nilai pelaburan Tabung Haji telah jatuh dengan banyak akibat penurunan berterusan Bursa Malaysia selepas pelabur-pelabur asing tidak berhenti untuk menarik dana mereka keluar selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Jadi, kerajaan Pakatan Harapan tidak perlu menjadikan Tabung Haji sebagai bahan kejutan lagi. – MalaysiaGazette