Zukri Samat

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) optimis mampu membayar hibah pada tahun ini dan kembali mengukuhkan kedudukan kewangannya pada 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, beliau tidak boleh memberi sebarang jaminan kerana tahun 2018 masih berbaki kira-kira tiga minggu dan akaun syarikat masih belum diaudit namun bersandarkan kepada trend semasa, ia mampu membuat bayaran hibah tahun ini.

“Pembayaran hibah adalah berdasarkan dua kriteria utama iaitu aset mestilah melebihi liabiliti dan syarikat perlu mencatatkan keuntungan.

“Bagi tahun ini, apabila kita telah memindahkan aset-aset tidak menguntungkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) menjelang 31 Disember ini, kunci kira-kira syarikat akan menunjukkan nisbah hutang dan aset adalah seimbang.

“Saya tidak boleh cakap pasti tetapi saya positif, kami mampu membayar hibah berdasarkan prestasi ketika ini.

“Untuk tahun 2019, kita akan menyaksikan Tabung Haji kembali semula ke landasan sebenar,” katanya semasa taklimat media Pelan Rehabilitasi dan Penstrukturan Semula di sini hari ini.

Menyentuh mengenai perancangan masa depan TH di bawah barisan pengurusan baharu, Zukri berkata, mereka mahu kembali kepada mandat asal penubuhan entiti tersebut dan bukannya menjadi pengurus dana pelaburan yang bersaing dengan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mahupun institusi-institusi perbankan di negara ini.

Katanya, TH sedang menyemak semula perletakan aset-asetnya dengan merancang untuk mengurangkan pelaburan ekuiti yang ketika ini berada di paras 50 peratus dan seterusnya mengubah fokus kepada segmen pendapatan tetap.

“Salah satu komponen penting di dalam Pelan Pemulihan kami adalah keupayaan pengurusan risiko yang merupakan perkara penting di dalam pelaburan.

“Kami sedang berusaha untuk membuat satu rangka kerja di dalam pengurusan pelaburan bagi memastikan dasar pelaburan pada masa hadapan adalah bersesuaian dengan model baharu perniagaan TH.

“Dengan itu, kami telah melantik seorang Ketua Pengurusan Pelaburan baharu yang mempunyai pengalaman luas untuk memastikan proses pernilaian ketat boleh dilakukan sebelum membuat pelaburan baharu,” katanya lagi.

Gambar file–TABUNG HAJI. foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2018.
Penyimpan Tabung Haji sedang menunggu giliran masing-masing. – foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2018.

Disebabkan itu juga, Zukri sangat mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk meletakkan TH di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia berkuatkuasa 1 Januari ini.

Jelasnya, BNM terkenal dengan peraturan dan garis panduan yang ketat terutama di dalam pengurusan risiko malah perlantikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif entiti di bawah BNM perlu melalui proses pernilaian ketat sebelum diberi kelulusan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abd. Rahim yang mengatakan pernilaian pengurusan terdahulu adalah berbeza dengan pendedahan yang dibuat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri semalam, Zukri berkata, ia hanyalah perbezaan dari sudut perakauan.

Bagaimanapun, apa yang penting adalah aset yang dimiliki TH adalah lebih rendah berbanding liabiliti sekali gus menyebabkan syarikat tersebut tidak sepatutnya membayar hibah kepada pendeposit.

Ketika ditanya sama ada berlakunya pengeluaran luar biasa susulan isu tersebut, Zukri berkata, perniagaan berjalan seperti biasa malah terdapat 170 pendeposit baharu mendaftar hari ini.

Beliau turut memberi jaminan isu panas yang sedang membelenggu institusi tersebut tidak akan menjejaskan keupayaan mereka untuk menguruskan jemaah haji menunaikan rukun Islam kelima.-MalaysiaGazette