Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abd Rahim

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji yang dipimpin oleh barisan baharu diharapkan tidak menaikkan tambang bagi musim haji tahun ini berikutan pendedahan defisit sebanyak RM4 bilion yang dialami oleh organisasi itu.

Malah, bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim juga meminta, Tabung Haji mengekalkan subsidi yang diberikan oleh kerajaan Barisan Nasional bagi menjaga kepentingan bakal jemaah haji.

Beliau yang sekali lagi mengulangi kenyataan untuk sedia bekerjasama dengan pengurusan Tabung Haji dan pihak berkuasa bagi tujuan siasatan menggesa kerajaan Pakatan Harapan tidak  menarik organisasi itu dalam kancah politik.

Katanya, sejak kebelakangan ini ada cubaan untuk mempolitikkan  Islam seperti Tabung Haji dengan pelbagai fakta yang mengelirukan rakyat.

“Sebenarnya saya sangat hairan dan kecewa kerana kerajaan sekarang begitu ghairah mencari kesalahan kerajaan terdahulu sehingga pelbagai tomahan dilemparkan.

“Jangan gunakan media untuk kelirukan masyarakat umum terutamanya pendeposit sebanyak 9.3 juta orang ini,” katanya menyifatkan kedudukan kewangan Tabung Haji turut terkena tempias ekoran keadaan pasaran saham merundum teruk pada tahun ini.

Katanya, kedudukan pasaran pada hari ini bukan disebabkan kelemahan pengurusan terdahulu sebaliknya faktor ekonomi luar dan dalam negara yang turut dirasai oleh semua agensi.

“Persoalan saya, apa yang dilakukan oleh pengurusan baru Tabung Haji untuk atasi cabaran ini? Berapakah keuntungan yang dijana sejak Julai lepas?

“Jangan tarik Tabung Haji ke kancah politik, tadbir dengan lebih baik kerana pengurusan lama sebelum ini pernah diperakui oleh dunia dan ia sesuatu yang tidak boleh dinafikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette