Klinik 1Malaysia yang pernah ditempatkan di Damansara Damai sebelum PRU14.

KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat untuk menutup 34 daripada 347 operasi Klinik 1Malaysia atau nama baharunya, ‘Klinik Komuniti’ kerana sedang berdepan dengan masalah kos tidak efektif sebagai peringkat permulaan ketika ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mahu melaksanakan rasionalisasi kesluruhan operasi klinik tersebut.

Jelas Boon Chye, sebelum klinik yang ditutup perlu juga memenuhi beberapa kriteria tertentu antaranya mempunyai purata kehadiran rendah iaitu kurang 40 pesakit sehari selain daripada mempunyai kemudahan kesihatan berdekatan dalam 5 kilometer.

Selain daripada itu, katanya ianya juga tidak akan terletak berdekatan  di kawasan projek perumahan rakyat (PPR).

“Selain daripada itu, antara kriteria penting yang lain ialah penutupan ini tidak akan mendapat bantahan daripada Jabatan Kesihatan Negeri selain kemudahan tidak menjejaskan perkhidmatan sedia ada.

“Selepas rundingan dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini, sebanyak 34 Klinik 1Malaysia akan mula ditutup secara berperingkat sebagai permulaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika di soal oleh Ahli Dewan Negara, Sabani Mat yang meminta jawapan mengapa kerajaan PH mengambil langkah menutup Klinik 1Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pernah mendedahkan sebanyak 293 Klinik 1Malaysia akan dijenamakan semula sebagai Klinik Komuniti manakala 34 buah lagi bakal ditutup secara berperingkat.

Sebanyak 20 Klinik 1Malaysia pula akan dinaik taraf sebagai klinik kesihatan dengan fokus kepada rawatan pesakit luar khususnya dalam menangani penyakit tidak berjangkit. –MalaysiaGazette