Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan bersubahat Datuk Seri Najib Razak meminda laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayub.

Arul Kanda didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Najib iaitu sebagai pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan bagi diri beliau sendiri.

Tindakan itu adalah dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Ia adalah bagi perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Arul Kanda didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub mengarahkan Arul Kanda  membayar RM500,000 wang ikat jamin dengan seorang penjamin.

Dakwaan dikemukakan di bawah seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dibaca bersama Seksyen 23(1) dan seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Arul Kanda diwakili peguam Datuk N Sivananthan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar ikat jamin RM500,000 hari ini dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette