Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah berhubung kes pindaan laporan akhir pengauditan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada pukulĀ  8.05 pagi tadi.

Beliau yang dibawa dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya memakai sut hitam dan kemeja putih diiringi beberapa pegawai SPRM.

Arul ditahan SPRM pada pukul 10.30 pagi semalam mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau bersama-sama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan didakwa dengan pertuduhan sama.

Arul Kanda akann didakwa oleh Mahkamah Sesyen selepas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad mendedahkan pada 25 November lalu bahawa sebahagian audit akhir laporan 1MDB telah dipinda.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu adalah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan berkenaan dengan status kewangan 1MDB.

Antara lain, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga Ketua Setiausaha Sulit Najib sewaktu dia menjadi perdana menteri. -MalaysiaGazette