Datuk Seri Ronald Kiandee. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan mencadangkan satu nama lain bagi menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang disandang Datuk Seri Ronald Kiandee.

Ujar beliau, pelantikan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu adalah kapasiti daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang termaktub dalam manifesto mereka sebelum ini.

“Notis akan dibuat oleh pengerusi BN kepada Speaker mengenai kuatkuasa kedudukan pengerusi PAC dan kami akan cadangkan nama lain,” katanya dalam sidang media khas di Menara Dato’ Onn hari ini.

Hadir sama adalah dua Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khaled dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam manifesto PH sebelum ini, jawatan Pengerusi PAC akan disandang oleh mana-mana ahli parlimen daripada pembangkang.

Ronald hari ini berkata beliau belum boleh meletakan jawatan sebagai Pengerusi PAC walaupun sudah meninggalkan UMNO.

Malah beliau turut berkata perdana menteri yang akan ,embuat keputusan berhubung statusnya itu.

“Itu hak beliau dan kami merujuk kepada apa yang dijanjikan oleh kerajaan sekarang. Kalau dia masih bersama kami akan pertahankan tapi secara automatik kami akan cadangkan nama lain daripada pembangkang,” jelas Ahmad Zahid lagi. -MalaysiaGazette