Akmal Nasir

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran menumpukan usaha untuk mengenal pasti 362,000 orang peminjam yang tidak pernah membayar hutang. 

Perkara itu disuarakan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang  mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan. 

Ketua Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, perkara itu telah disuarakan oleh majoriti peminjam. 

“Kedua, kita perlu beri fokus untuk usaha mengesan pinjaman yang belum mula membayar mengikut rekod. Sebanyak 362,000 peminjam belum pernah buat pembayaran, ini perlu kajian khusus dan kami (AMK) cari jalan untuk membantu,” katanya ketika sidang media bersama Wan Saiful. 

Wan Saiful dalam pada itu memberi jaminan akan memberi komitmen untuk mencari peminjam yang tidak pernah membuat bayaran sebelum ini. 

Selain itu, katanya, PTPTN juga perlu menghormati perjanjian asal pembayaran balik yang telah dipersetujui dan jika mahu membuat pindaan, maka sepatutnya diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan peminjam.

Akhir sekali, tambah Akmal, PTPTN perlu memastikan pelaksanaan polisi dan dasar baharu tidak dibuat secara tergesa-gesa. 

“Ada lagi, sebarang makluman dan ketetapan baharu yang akan diputuskan oleh PTPTN yang akan memberikan kesan langsung kepada peminjam seharusnya dimaklumkan lebih awal dan dibincang terlebih dahulu bersama peminjam,” ujarnya lagi. 

Pertemuan di antara rombongan AMK dengan Wan Saiful hari ini berlangsung selama dua jam bermula 12 tengah hari tadi. 

Perbincangan kedua-dua pihak ini menjurus kepada ketidakpuasan hati para peminjam sejak PTPTN mengumumkan mahu melaksanakan Potongan Gaji Berjadual (PGB). 

Bagaimanapun skim itu dibatalkan. – MalaysiaGazette