Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli politik diingatkan agar tidak sesekali membangkitkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan bagi mencapai tujuan politik tertentu ketika hubungan etnik di negara ini berada pada tahap yang rapuh.

Ini kerana, jika berlakunya perkara itu ia boleh menyebabkan tercetusnya keganasan politik akibat daripada kekecohan hingga mampu menimbulkan rusuhan, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr Teo Kok Seong.

Menurutnya, ahli dan veteran politik perlu bertindak sebagai negawaran iaitu orang yang dihormati dengan meletakkan negara sebagai keutamaan dalam kerjaya politik mereka.

“Sesungguhnya kekecohan politik ini apabila menjadi-jadi boleh bertukar kepada keganasan politik dalam pebagai bentuk.

“Antaranya rusuhan, perang saudara dan pemberontakan yang berlaku di beberapa tempat di dunia ini,” katanya ketika sidang meja bulat mengenai Konflik Perpaduan Negara:Ancaman kepada Keselamatan Negara anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini hari ini.

Kok Seong berkata, untuk itu ahli politik perlu mengurangkan kekecohan politik tersebut agar negara menjadi selamat dan rakyat tidak merasa terancam gara-gara hubungan etnik yang tidak baik itu.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu. hubungan etnik di Malaysia bersifat permukaan dan tidak pun mendalam apatah lagi tulen.

Secara umumnya ujar beliau, tahap sederhana dan sosial itu adalah norma pada masa ini dan telah berlaku sejak sekian lama.

“Walaubagaimanapun, sekali-sekali secara sedar untuk memperlihat tahapnya baik ia sengaja dibuat-buat secara jukstaposisi iaitu semua kaum didapati bersama-sama sebagai satu komuniti nasional.

“Sebenarnya acara nasional, termasuklah sambutan Hari Kebangsaan tidak pun memperlihat adanya interaksi antara kaum dalam kalangan rakyat terbanyak kecuali pada peserta persembahan di atas pentas dan jemputan elit di meja jamuan,” ujarnya.

Katanya lagi, hubungan etnik di negara ini telah bermula semenjak wujudnya masyarakat majmuk namun, sehingga kini ia masih berada di takuk lama iaitu tidak mengenal antara satu sama lain.

Perbincangan meja bulat itu dihadiri dua lagi panelis iaitu Ahli Majlis Pemikir Kongres Belia Nasional, Datuk Ruhanie Ahmad dan Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM), Dr Chandra Muzaffar.

Turut hadir bekas menteri luar, Tan Sri Syed Hamid Albar; bekas ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dan Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman. – MalaysiaGazette