KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 4.2 peratus pada bulan Oktober 2018 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan pada bulan Oktober 2018 disokong oleh peningkatan dalam semua indeks: pembuatan (5.4%), elektrik (2.1%) dan perlombongan (1.4%), menurut Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Tahun ke tahun, indeks sektor pembuatan naik sebanyak 5.4 peratus pada bulan Oktober 2018 selepas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus pada September 2018.

Subsektor utama yang memacu pertumbuhan pada bulan Oktober 2018 adala produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (10.1%), produk peralatan elektrik dan elektronik (7.1%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (4.1%).

Indeks sektor perlombongan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.4 peratus pada bulan Oktober 2018 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam indeks Gas Asli (2.3%) dan indeks Minyak Mentah (0.4%).

Indeks sektor elektrik meningkat sebanyak 2.1 peratus pada bulan Oktober 2018 berbanding bulan Oktober 2017. – MalaysiaGazette