Hujan renyai semasa pengebumian jenazah lima remaja di dalam satu liang lahad seakan turut sama berduka dengan pemergian mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tragis di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru di sini, semalam.
Hujan renyai semasa pengebumian jenazah lima remaja di dalam satu liang lahad seakan turut sama berduka dengan pemergian mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tragis di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru di sini, semalam. - foto BERNAMA

IPOH – Hujan renyai semasa pengebumian jenazah lima remaja di dalam satu liang lahad seakan turut sama berduka dengan pemergian mangsa yang meninggal dunia dalam kebakaran tragis di kawasan perindustrian Puncak Jelapang Maju, Meru di sini, semalam.

Jenazah kelima-lima remaja iaitu Mohd Nor Aiman Abdul Rahman, 16, Mohamad Nor Ikram Mohd Husni, 15, Mohd Ikhmal Izzudin Mohd Kamari, 16, Ahmad Faizal Amiruddin, 16, dan Mohamad Azhar Shah Rosli, 19, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Pari Hilir di sini kira-kira pukul 8 malam.

Suasana sayu dan pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan berkenaan yang dihadiri lebih 300 anggota keluarga serta penduduk setempat yang hadir memberi penghormatan terakhir sebelum jenazah mereka disemadikan.

Turut hadir ke pengebumian itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari.

Sebelum itu, jenazah kelima-lima mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 6.10 petang selepas selesai proses bedah siasat, dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan.

Kelima-lima jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Idrisiah Kampung Kuala Pari di sini untuk disembahyangkan sebelum solat Maghrib dan dibawa dengan lima buah van jenazah menuju ke tanah perkuburan.

Selain lima remaja berkenaan, turut terkorban ialah pemilik premis iaitu P.Thiagarajun, 40, dalam kebakaran seunit rumah kedai dua tingkat dalam kejadian pada pukul 1.54 tengah hari semalam.

Mayat Thiagarahun telah dituntut oleh anggota keluarga dan akan disemadikan di Buntong.

Dalam sidang media hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, SAC Yahaya Abd Rahman, berkata kebakaran yang mengorbankan kesemua mangsa dipercayai berpunca daripada letupan bunga api.

Yahaya berkata, kesan dan sisa letupan bunga api itu boleh dilihat pada semua mayat yang melecur sehingga 90 peratus.

Berdasarkan papan tanda di premis tersebut, ia menjalankan perniagaan pengatur cara majlis serta membekalkan peralatan majlis seperti khemah, alat siar raya dan lampu.

— BERNAMA