Bung Moktar Radin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah yang baharu, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tugas utama beliau kini adalah bagi mengenalpasti ahli-ahli parti yang mahu kekal dan masih kuat bersama UMNO.

Katanya, antara tindakan yang akan digerakkan beliau adalah mengenal pasti semua exco serta pemimpin pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang masih kekal bersama UMNO Sabah.

“Langkah pertama adalah kita ingin memastikan pemimpin-pemimpin yang masih kekal bersama UMNO dan kemudian kita akan mencari satu pendekatan ke arah bagaimana memperkukuhkan bahagian-bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri.

“Dalam suasana sekarang ini ada yang kata keluar, ada yang menafikan jadi kita kenalpasti dahulu,” katanya memetik laporan sebuah portal berita hari ini.

Katanya, UMNO Sabah akan mengambil tempoh satu hingga dua minggu bagi tujuan itu.

Ini kerana beliau yakin, ramai lagi daripada akar umbi yang masih setia bersama-sama UMNO.

Justeru itu, beliau berkata amanah yang diberikan pucuk pimpinan UMNO akan digunakan sepenuhnya bagi memastikan parti itu tidak terbubar di negeri itu.

“Walaupun saya rasa amat berat sebab kalah dalam pilihan raya dan kemudian kita ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan.

“Saya yakin UMNO Sabah boleh bangkit semula untuk membawa arus perubahan kepada masyarakat di Sabah nanti,” katanya lagi.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengumumkan nama Bung Moktar sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah bagi menggantikan Datuk Hajiji Mohd Noor yang bertindak keluar parti hari ini.

Hajiji antara 13 wakil rakyat negeri itu dan 21 Ketua Bahagian meninggalkan parti dan mengisytiharkan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Antara yang keluar UMNO adalah, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa; Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri.

Malah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah turut bertindak keluar parti.

Antaranya ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, Masidi Manjun (Karanaan), Japlin Akim (Usukan), Musbah Jameh(Tempasuk), Gulam Haidar Khan (Kawang), Mohd Arifin Arif (Membakut), Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Nizam Titingan (Apas). -MalaysiaGazette