Dr Chandra Muzaffar
Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM), Dr. Chandra Muzaffar bercakap pada bual bicara konflik perpaduan negara: Ancaman kepada keselamatan negara di Wisma MPM-Bina Daulah, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Sistem Pendidikan di negara ini perlu dikembalikan semula mengikut Penyata Razak 1956 dalam usaha menyatu padukan masyarakat berbilang kaum di negara ini bermula sejak dari bangku sekolah.

Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia (YPM), Dr Chandra Muzaffar berkata, Penyata Razak merupakan sebuah laporan lengkap yang wajar dilaksankan untuk membentuk masyarakat terutama dalam konteks kehidupan pada hari ini.

Menurutnya, dokumen yang terkandung dalam Penyata Razak perlu dijadikan panduan dan pedoman agar masyarakat lebih terdidik untuk mencintai tanahair mereka.

“Tapi itu yang berlaku (tidak dilaksanakan) kerana politik selepas merdeka. Ia terjadi atas desakan-desakan pihak tertentu dalam politik.

“Penyata Razak ini antara lain tidak merestui aliran-aliran yang berbeza seperti adanya sekolah Cina dan Tamil seperti sekarang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sidang meja bulat mengenai Konflik Perpaduan Negara:Ancaman kepada Keselamatan Negara anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini hari ini.

Chandra berkata, akibat tidak melaksanakaan Penyata Razak dalam sistem pendidikan maka rakyat terpaksa merestui aliran-aliran yang berbeza sebagaimana yang berlaku dalam sistem pendidikan negara pada hari ini.

Tambah beliau, sistem persekolahan yang menyatu padukan ini sangat penting walapun untuk melaksanakannya ketika ini akan berdepan dengan satu cabaran yang sangat besar.

“Tapi kita harus cuba mencapai matlamatnya berdasarkan apa yang kita mahu.

“Itu sebabnya saya simpulkan bahawa kita perlu bersikap optimis untuk melihat masa depan kerana mereka (kerajaan) tidak dapat menyelesaikan masalah yang wujud dari masa ke semasa.

“Pada masa sama selepas kerajaan baharu yang memberi tumpuan kepada amanah ia perlulah dipegang untuk mewujudkan nilai-nilai murni kerana ia boleh menyatukan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette