Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Malaysia menggesa Singapura mengubah laluan penerbangan bagi kemasukan dari arah selatan serta menarik balik sistem pendaratan alatan (ILS) untuk Lapangan Terbang Seletar.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, jika laluan penerbangan ILS dibenarkan, Malaysia tidak dapat membina bangunan tinggi di Pasir Gudang selain Pelabuhan Pasir Gudang pula akan lebih terdedah kepada risiko serta pelbagai kekangan.

“Sebelum ini Lapangan Terbang Seletar tidak menggunakan ILS. Juruterbang boleh mengendalikan pesawat dengan mengelilingi halangan dan tiada peraturan mengenai had ketinggian di kawasan laluan penerbangan. Namun sekarang dikenakan had ketinggian bagi ILS.

“Dalam hal ini, kawasan yang terjejas adalah seluas dari Pasir Gudang ke utara hingga Ayer Tawar (Johor) dan hampir ke Kota Tinggi.

“Pendirian kita jelas, kita tidak ada masalah dengan Seletar. Namun dari segi laluan penerbangan yang hendak mendarat, ia tidak boleh melintasi ruang udara Pasir Gudang,” katanya dalam catatan Facebook malam tadi.

Catatan itu disertakan dengan video yang menjelaskan alasan Malaysia membantah penggunaan ILS termasuk penimbal ketinggian bagi laluan penerbangan ILS dari lapangan terbang tersebut.

Berdasarkan video itu, ketinggian di Point 1 (tiga kilometer dari Lapangan Terbang Seletar) tidak boleh melebihi 54 meter dan ketinggian maksimum bagi Point 2 (enam kilometer dari lapangan terbang) ialah 145 meter.

Lapangan terbang itu hanya dua kilometer dari Pasir Gudang.

“Ini bermakna kren mudah alih pun sudah melebihi had ketinggian. Tambahan pula banyak lagi bangunan tinggi di Johor,” kata Loke.

ILS merupakan instrumen pandu arah yang membantu pesawat mendarat khususnya ketika kebolehlihatan kurang baik.

Pada Isnin, Malaysia menggesa Singapura mendedahkan sepenuhnya maklumat berhubung tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap tindakan Singapura untuk mengguna pakai ILS di lapangan terbang itu kerana menceroboh ruang udara Malaysia. Singapura akan menguatkuasakan ILS pada 3 Jan ini.  – MalaysiaGazette