Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Krisis kewangan diramal melanda Asia awal tahun depan dengan Malaysia dijangka menjadi salah sebuah negara yang menjadi pusat krisis tersebut.

Menurut Nomura Research, krisis kewangan tersebut dijangka tidak akan berlaku terlalu lama dan diramalkan pulih selepas Julai 2019.

Dalam laporan tinjauan masa hadapannya, Nomura Research memberi amaran kepada beberapa negara Asia terutamanya negara yang mempunyai lebihan akaun semasa dan bergantung kepada eksport bakal mengalami kekurangan wang untuk dipinjamkan, sekaligus menyebabkan penurunan dalam penyediaan pinjaman.

Selain Malaysia, firma penyelidikan itu turut menamakan Korea Selatan, China, Singapura dan Thailand sebagai negara-negara yang berpotensi terjejas teruk akibat krisis berkenaan.

Gelombang pertama yang dirujuk sebagai penurunan teruk matawang di India, Indonesia dan Filipina telah berlaku pada suku ketiga 2018.

Manakala gelombang kedua bermula pada suku keempat yang dipacu oleh penjualan besar-besaran pasaran ekuiti di negara-negara Asia yang mempunyai lebihan akaun semasa.

“Kami menjangkakan gelombang ketiga adalah krisis kewangan yang akan bermula pada suku pertama, selari dengan peningkatan kelembapan pertumbuhan Asia dengan pembetulan dalam pasaran hartanah.

“Bagaimanapun, pada separuh 2019 dan 2020, kami menjangkakan pemulihan ekonomi dan seperti phoenix bangkit dari abu, kami percaya, itulah masanya Asia bersinar semula.

“Para pelabur akan kembali memberi fokus kepada potensi pertumbuhan besar Asia sama seperti bahagian dunia yang lain dengan mengaktifkan kenaikan pasaran seawal suku kedua 2019,” kata Nomura Research.

Firma penyelidikan itu menurunkan prospek ekonomi Malaysia pada 2019 dan mengekalkan kebimbangan terhadap kemungkinan penarafan negara akan diturunkan.

Potongan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan dijangka dilakukan pada 2019, menjadikan kadar faedah kepada tiga peratus.

Ini dijangka dilakukan bagi memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi domestik manakala jangkaan inflasi pula adalah lebih baik dan risiko ketidakseimbangan kewangan mampu dikawal.

Nomura Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang empat peratus pada 2019 berbanding unjuran konsesus iaitu 4.6 peratus.

Bagaimanapun, ia meramalkan ekonomi negara pulih sedikit dengan KDNK dicatat pada 4.2 peratus.-MalaysiaGazette