Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Oktober 2018 mencatatkan peningkatan 10.2 peratus dengan nilai jualan RM73.1 bilion berbanding RM66.3 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Tahun ke tahun, pertumbuhan yang direkodkan dalam nilai jualan pada bulan Oktober 2018 adalah didorong oleh kenaikan dalam produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (13.3%), produk peralatan elektrik dan elektronik (11.5%) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (11.5%).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Oktober 2018 adalah seramai 1,076,377 orang, meningkat sebanyak 2.2 peratus atau 23,042 orang berbanding 1,053,335 orang pada Oktober 2017.

Jumlah gaji dan upah yang dibayar meningkat sebanyak 10.2 peratus atau RM359.9 juta kepada RM3,901.6 juta, sekaligus mencatatkan purata gaji dan upah setiap pekerja sebanyak RM3,625 pada Oktober 2018.

Nilai jualan per pekerja meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada RM67,889 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette