KRI
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza (tengah) sambil diiringi Jawatankuasa Pengerusi Eksekutif Khazanah Research Institute, Hisham Hamdan (tiga kiri) dan Rakan Senior Khazanah Research Institute, Dr Lim Lin Lean (tiga kanan) bergambar kenangan pada Majlis Pelancaran Buku Laporan “School-to-Work Transition Survey” di Mercu UEM, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Dakwaan mengatakan golongan muda memilih kerja, pemalas dan hanya mahukan kerja-kerja glamour sahaja hanyalah satu persepsi, demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute.

Kajian Transisi Sekolah ke Tempat Kerja (SWTS) yang dilancarkan hari itu menunjukkan kebanyakan golongan muda “terlebih pendidikan” atau over-educated untuk melakukan kerja-kerja tidak berkemahiran atau berkemahiran rendah.

Malah ramai yang mempunyai pekerjaan sekarang tetapi tidak bersepadan dengan taraf pendidikan selain lari daripada bidang yang dipelajari.

Ketika banyak majikan merungut siswazah muda meminta gaji yang terlalu tinggi di antara RM2,400 sehingga RM3,000 sebulan, dapatan SWTS mendapati pendapatan bulanan sebenar (mengikut nilai mean) adalah RM1,846 untuk pekerja muda dan gaji reservasi RM1,715 bagi pencari kerja.

Gaji reservasi adalah paras terendah yang diminta oleh pencari kerja yang mana sekiranya ditawarkan lebih rendah daripada itu, mereka akan menolaknya.

Data SWTS juga menunjukkan kebanyakan pekerja muda separuh masa dan pekerja yang terpaksa menanggung keluarga memiliki gaji di bawah paras gaji reservasi sekali gus bermakna, mereka sanggup menerima pendapatan yang jauh lebih rendah daripada jangkaan asalkan ada kerja.

Kajian tersebut mendapati, kriteria paling utama yang dicari oleh golongan muda adalah keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan (22.2 peratus) di samping mahukan kerjaya yang tidak membosankan (14.3 peratus) berbanding gaji yang lebih tinggi (12.5 peratus).

Menurut Felo Kanan Jemputan KRI, Dr. Lim Lin Lean, kebanyakan kajian yang mendapat hasil menyatakan rungutan majikan terhadap golongan muda yang didakwa suka memilih kerja dan pemalas dilakukan secara dalam talian.

Bagaimanapun, apabila KRI melaksanakan kaedah yang serupa, respon yang diterima amatlah rendah sehingga tidak mampu menghasilkan satu keputusan yang komprehensif dan menyebabkan badan penyelidikan itu menggunakan kaedah temubual bersemuka.

“Semasa melaksanakan SWTS kami menggunakan dua kaedah iaitu kajian dalam talian dan temubual bersemuka tetapi kami terpaksa membatalkan kaedah dalam talian kerana responnya amat rendah sehingga tidak boleh menghasilkan keputusan yang konklusif.

“Di sini saya lihat mengapa banyak dapatan kajian yang menunjukkan rungutan majikan terhadap golongan pekerja muda. Bagaimana anda boleh membuat rumusan dapatan sekiranya respon terlalu rendah,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran SWTS di sini hari ini.

Kajian tersebut juga menunjukkan semakin ramai orang muda yang lebih berminat bekerja secara bebas (freelance) tanpa perlu terikat dengan mana-mana majikan kerana kebanyakan kerja boleh dilakukan melalui capaian Internet sahaja.

Lin Lean yang membuat pembentangan dapatan SWTS berkata, sudah tiba masanya kerajaan membuat perubahan kepada peraturan-peraturan buruh di negara ini sesuai dengan perkembangan semasa.

Ini bagi memberi keadilan dan kesenangan kepada pekerja-pekerja bebas sama seperti pekerja-pekerja yang mempunyai majikan.

“Kajian mendapati ramai yang berminat untuk melakukan pekerjaan bebas. Mereka mungkin boleh membuat akaun atau apa sahaja kerja tanpa perlu terikat dengan satu-satu majikan.

“Malah jika kita lihat senario pada hari ini, kita mungkin tidak pernah menyangka akan wujud kerjaya seperti pengawal drone, social media influencer dan sebagainya.

“Ia memberikan lebih banyak peluang pekerjaan, lebih fleksibel dan anak-anak muda tidak takut untuk menceburi bidang tersebut walaupun ianya tidak seselamat makan gaji.

“Tetapi inilah realiti pada hari ini. Dunia sudah berubah,” ulasnya.

SWTS adalah instrumen kaji selidik pelbagai komponen dibangunkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menghimpunkan maklumat pendidikan dan pasaran kerja remaja.

Ia telah diuji di lebih 30 negara bagaimanapun ini merupakan kali pertama Malaysia menjalankan kajian tersebut.-MalaysiaGazette