Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Industri minyak dan gas di Malaysia tidak menunjukkan sebarang tanda akan memperlahankan aktiviti pengambilan pekerja dalam talian memandangkan sektor tersebut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun selama 19 bulan berturut-turut, meningkat 13 peratus pada bulan Oktober.

Berdasarkan perbandingan selama enam bulan, sektor ini mencatatkan pertumbuhan positif
sebanyak 8 peratus, menurut Indeks Pekerjaan Monster (MEI).

Secara keseluruhannya pula, Malaysia mencatatkan penurunan 11 peratus tahun ke tahun dalam aktiviti perekrutan dalam talian pada bulan Oktober, menandakan pertumbuhan negatif selama lapan bulan berturut-turut.

Industri perbankan, sektor kewangan dan insurans (BFSI) mencatat penurunan paling mendadak dalam pengambilan dalam talian, merosot sebanyak 16 peratus, sekaligus menyaksikan penurunan dua digit selama lapan bulan berturut-turut.

Satu-satunya industri lain yang dipantau oleh MEI yang mencatatkan pertumbuhan positif dan menerajui aktiviti pengambilan pekerja dalam talian di kalangan sektor industri pada bulan Oktober adalah tekenologi maklumat, telekomunikasi, protokol perkhidmatan Internet dan penyumberan luar pemprosesan perniagaan dan perkhidmatan pemboleh teknologi maklumat iaitu 25 peratus.

MEI adalah pengukur aktiviti pengumuman kerja dalam talian yang disusun setiap bulan oleh Monster.com.

Laporan itu juga menunjukkan permintaan untuk profesional hospitaliti dan perjalanan menyaksikan penurunan
paling mendadak pada bulan Oktober, iaitu sebanyak 26 peratus tahun ke tahun.

Tetapi, perkhidmatan pelanggan menyaksikan pertumbuhan tahunan yang paling ketara dalam kalangan kategori pekerjaan, iaitu meningkat sebanyak 25 peratus tanda positif yang pertama sejak bulan Februari 2018.

Jika dibandingkan bulan ke bulan, peranan pekerjaan tersebut mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 36 peratus. – MalaysiaGazette