Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir ke mahkamah berhubung kes pindaan laporan akhir pengauditan syarikat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 12 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapat perlindungan daripada tindakannya berhubung pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Najib didakwa menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dengan cara mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sekiranya bersalah, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib.

Manakala Najib pula diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hakim menetapkan ikat jamin sebanyak RM500,000 dan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Januari tahun depan. – MalaysiaGazette