KUALA LUMPUR –  Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini didorong kenaikan harga minyak dunia yang meningkatkan sentimen belian terhadap mata wang tempatan.

Pada 9.14 pagi, unit tempatan berada pada 4.1790/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1830/1860 ketika ditutup semalam.

Peniaga berkata harga minyak mentah global mendapatkan semula asas kenaikan memandangkan peserta pasaran menjangkakan pengurangan bekalan yang diketuai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum bagi tahun depan akan membantu menstabilkan pasaran.

“Harga minyak mentah yang lebih tinggi dilihat sebagai positif bagi hasil minyak dan gas Malaysia,” katanya.

Niaga hadapan minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) naik satu peratus kepada US$52.15 setong.

Sementara itu, ringgit juga didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0444/0485 daripada 3.0473/0506 semalam dan kukuh berbanding yen kepada 3.6832/6886 daripada 3.7008/7038.

Mata wang tempatan naik berbanding pound kepada 5.2238/2317 daripada 5.2773/2827 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7344/7413 daripada 4.7603/7653. – MalaysiaGazette