Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Walaupun wujud kebimbangan penglibatan kanak-kanak dan remaja bawah umur dalam aktiviti tidak sihat dan jenayah, namun kerajaan belum berhasrat untuk wujudkan larangan keluar malam atau perintah berkurung ketika ini.

Timbalan Menteri Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sedia maklum tentang kegusaran itu namun ibu bapa perlu memainkan peranan dalam perkara ini.

Hannah berkata, banyak lagi aktiviti sihat boleh dilakukan pada waktu malam seperti kelas tuisyen, kemahiran serta penganjuran solat hajat serta qiamullail bagi anak-anak remaja bawah umur.

“Sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti tidak sihat.

“Langkah pertama ialah ibu bapa perlu mengawasi serta mengawal anak-anak mereka. Banyak aktiviti yang jauh lebih sihat boleh dilakukan untuk kebaikan mereka,” katanya ketika soal jawab Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Ahli Dewan Negara, Asmak Husin yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengadakan perintah berkurung ke atas remaja bagi mengurangkan kadar jenayah melibatkan golongan ini.

Tambah Hannah, buat masa ini kerajaan belum mempunyai sebarang hasrat untuk menetapkan larangan keluar malam atau perintah berkurung kerana undang-undang itu juga belum ada.

“Dalam kes-kes tertentu ibu bapa atau penjaga boleh membuat permohonan bertulis kepada Mahkamah untuk intervensi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 46 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Peranan dan tanggungjawab ini juga boleh dilaksanakan melalui penguatkusaan oleh pihak berkuasa  tempatan (PBT), polis atau komuniti dalam memastikan aktiviti-aktiviti tidak sihat dapat dikawal.

“Ingin saya tekankan, waktu malam atau waktu siang bukan isu kepada aktiviti tidak sihat oleh remaja, sebaliknya perlakuan  sendiri,” ujarnya. –MalaysiaGazette