Tan Sri Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Shafee Abdullah mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat pertuduhan yang bercanggah terhadap Datuk Seri Najib Razak berbanding kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

Menurut beliau, sejak beberapa hari ini, Najib dilaporkan telah mengarahkan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda.

Bagaimanapun, pertuduhan yang dibacakan terhadap Najib di Mahkamah Seksyen adalah berbeza kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC).

“Sekarang pihak pendakwa raya buat pusingan U tentang perkara itu dengan menyatakan Najib mengarahkan ubah suai dilakukan dalam laporan akhir yang belum dimuktamadkan.

“Arah pindaan semasa peringkat draf bukan laporan akhir. Jadi, dengan pertuduhan ini, adalah jelas ia bukan seperti mana tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau (Najib) sejak beberapa hari lalu

“Pertuduhan yang dikenakan ini, yang mana beliau (Najib) telah mengarahkan pindaan dibuat semasa proses laporan itu sedang disediakan,” kata secara berulang kali kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini selepas mewakili mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Shafee menambah, jangan lupa bahawa bekas Ketua Audit pernah menyatakan bahawa beliau tidak pernah diarahkan oleh mana-mana pihak, tetapi keputusannya untuk membuat laporan akhir audit.

Peguam tersohor itu menyifatkan perkara-perkara yang berlaku itu sangat menarik tetapi tidak mengulas lanjut.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam satu kenyataan media mengesahkan bahawa laporan akhir pengauditan 1MDB telah dipinda atas arahan Najib.

Laporan itu membabitkan kehadiran Low Taek Jho atau Jho Low dalam salah satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, namun Najib menerusi Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Salleh mengarahkan perenggan itu digugurkan atas alasan ia sensitif dan bagi mengelak fakta diputarbelitkan pihak pembangkang. – MalaysiaGazette