KUALA LUMPUR – TM ONE, unit rumusan perniagaan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah dianugerahkan dengan sijil piawaian antarabangsa ISO 18295-1:2017, menjadikan ia syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia yang menerima pensijilan seumpamanya.

Anugerah pensijilan tersebut telah diperkenalkan oleh Organisasi Standard Antarabangsa (ISO) pada tahun 2017, khusus untuk keperluan perkhidmatan bagi pusat panggilan pelanggan (CCC).

TM berkata, di Malaysia, pensijilan tersebut dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Standard dan Industri Malaysia (SIRIM) QAS International Sdn. Bhd.

Kelayakan ISO 18295-1:2017 boleh digunapakai bagi kedua-dua CCC dalaman dan sumber luar (pengendali pihak ketiga) merentasi semua saiz, kesemua sektor dan semua saluran interaksi, termasuklah panggilan keluar dan masuk.

Ia menggariskan matriks prestasi (dalam bentuk Petunjuk Prestasi Utama – KPI) apabila diperlukan.

Bagi memastikan pengekalan dan pematuhan terhadap pensijilan tersebut, TM ONE, akan terus melakukan audit peringkat dalaman bagi setiap suku tahun serta audit luaran secara tahunan, katanya. – MalaysiaGazette