Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik hari ini mencadangkan kepada Jabatan Zakat dan Mufti agar golongan asnaf yang menerima zakat turut diberikan buku-buku kepada anak mereka.

Ujarnya, idea itu telah dizahirkan kepada para mufti dan Majlis Zakat negeri bagi memastikan anak-anak golongan asnaf turut dibekalkan ilmu.

“Dalam pertemuan saya dengan para mufti dan Majlis Zakat, saya katakan sudah sampai waktu untuk diberikan kepada golongan asnaf bukan lagi duit, makanan dan baju sekolah semata-mata tetapi mestilah diberikan kepada anak-anak asnaf buku.

“Ini bertujuan untuk mereka menghasilkan imaginasi yang akan mendorong mereka untuk maju dalam pelajaran dan didalam kerjaya,” katanya katanya dalam ucapan prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Dewan Zaa’ba, Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini.

Cadangan itu dizahirkan beliau bagi memastikan kempen Dekad Membaca Kebangsaan direalisasikan.

Ia merupakan satu usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan dan mendaulatkan budaya membaca di kalangan masyarakat.

“Dalam laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia yang dibuat pada tahun 2014, jumlah meningkat kepada 15 naskah setahun dan sebenarnya jumlah ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju iaitu hampir 40 jilid buku setahun,” jelas Maszlee lagi.

Kadar celik huruf rakyat Malaysia pula telah hampir ke angka 94.94 peratus mengikut laporan “Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trend” dari tahun 1985 hingga 2015.

Untuk rekod, Malaysia kini di tangga ke 53 daripada 60 buah negara yang mempunyai kadar negara paling celik di dunia pada 2016. -MalaysiaGazette