Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kemaman dan Hulu Terengganu menjadi daerah terbaharu di Terengganu dilanda banjir.

Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa di daerah tersebut bertambah kepada 669 orang berbanding setiu yang hanya melibatkan 48 orang.

Sebanyak 14 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka ketika ini di tiga daerah berkenaan iaitu 10 di Hulu Terengganu dan masing-masing dua di Kemaman dan Setiu.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 411 diikuti Kemaman (224) dan Setiu (34).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air sungai di beberapa daerah juga masih melepasi paras bahaya dan sebahagiannya melebihi paras amaran.

Empat sungai di Terengganu melepasi paras bahaya.

Antara sungai itu ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak yang merekodkan bacaan 36.75 meter (m) berbanding paras bahaya 35m; Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.35m berbanding paras bahaya 21m), Sungai Berang di Kampung Menerong (24.58m mengatasi paras bahaya 24.50m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (21.06m mengatasi paras bahaya 19.70m). – MalaysiaGazette