Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Semua bekas pemimpin UMNO yang ingin dan telah menyertai Pakatan Harapan (PH) diberi amaran agar tidak menjadikan gabungan itu sebagai laluan mudah untuk menutup kesalahan terdahulu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil turut mengingatkan kumpulan tersebut  agar terlebih dahulu mengisytiharkan harta mereka  sebelum berniat untuk menyertai gabungan PH.

“Mereka yang terpalit dengan skandal, jangan harap dengan masuk ke PH akan hentikan tindakan mahkamah atau sebarang pendakwaan terhadap mereka.

“Jangan anggap PH sebagai laluan mudah mereka untuk keluar daripada sebarang kebobrokan dan keterlanjuran semasa pentadbiran lalu,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang dinyatakan itu adalah seiring dengan pendirian PKR bahawa tindakan menyertai parti komponen PH tidak akan menghentikan tindakan ke atas golongan tersebut.

“PKR juga telah disebut pada 31 Oktober lalu di mana jangan harap dengan kemasukan dalam PH akan menidakkan tindakan mahkamah terhadap mereka,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu diminta mengulas situasi politik terkini yang memperlihatkan ramai pemimpin UMNO bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada PH.

13 wakil rakyat UMNO Sabah dan 21 Ketua Bahagian meninggalkan parti dan mengisytiharkan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Antara yang keluar UMNO adalah, bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Parlimen Beluran yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC), Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Sepitang, Yamani Hafez Musa; Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Parlimen Kudat, Datuk Rahim Bakri.

Malah sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah turut bertindak keluar parti. -MalaysiaGazette